Senin, 26 Desember 2016

Mengenali Diri dan Hakikat Kehidupan

Mengenali Diri dan Hakikat Kehidupan…

Setiap yang dilahirkan dimuka bumi ini akan melalui suatu tempuh masa yang dinamakan kehidupan.Setiap orang akan menafsirkan kehidupan ini berdasarkan maklumat dan pengalaman yang diterimanya sejak dia mula berfikir dan dapat menyimpan memorinya.Bagi seorang muslim dia melalui satu jalan pintas untuk mengetahui apakah sebenarnya hakikat kehidupan ini melalui maklumat yang diterangkan oleh al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.Itupun bergantung bagaimana cara dia dibesarkan dan sejauh mana pendedahan terhadap maklumat daripada sumber tadi  yang diperolehinya sama ada daripada ibu bapanya atau persekitaran yang  membesarkannya.
Al-Quran sebagai petunjuk
Al Quran adalah kitab terakhir yang merupakan anugerah Allah kepada manusia di dunia ini, Ia ibarat peta bagi seorang musafir. Di dalamnya terkandung gambaran jalan yang lurus untuk menuju suatu matlamat yang telah digariskan. Malah ianya menerangkan destinasi sebenar yang sepatutnya semua orang  menujunya. Alam Akhirat dan perkara ghaib digambarkan oleh al Quran sebagai suatu yang real dan secara streak forward sebagai jalan pintas untuk akal fikiran manusia memahaminya. sebab itulah al Quran hanya petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa iaitu mereka yang mengimani perkara ghaib termasuk Alam Akhirat.
” Itulah dia al Kitab yang tiada ragu padanya , sebagai petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa, iaitu orang-orang yang beriman dengan perkara ghaib dan mendirikan sembahyang serta mereka menafkahkan sebahagian daripada apa yang kami rezkikan kepada mereka..” (al Baqarah 2-4)
Walaupun dengan akal yang waras yang Allah kurniakan kepada manusia itu  boleh menyampaikan seseorang itu kepada hakikat ketuhanan, akan tetapi Allah (dengan rahmatnya)telah mengutuskan para Rasul dan Kitab sebagai jalan pintas dan jalan mudah untuk manusia sampai kepada hakikat tersebut. Begitu juga dengan hakikat kehidupan ini serta di mana kesudahan dan apa tujuan manusia dihidupkan di alam ini juga secara terperinci ditunjukkan oleh al Quran. Oleh itu sebenarnya al Quran adalah sebesar-besar nikmat yang  diturunkan  Allah untuk manusia di alam buana ini. Sebab itu bagi mukmin menatap ayat-ayatnya saban hari  itu (selain daripada mendapat faedahnya) adalah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah di atas nikmat tersebut.
Mengenali Hakikat Diri …
Manusia adalah makhluk yang paling unik yang diciptakan Allah di alam buana ini. Kemuliaannya boleh mengatasi ketinggian para malaikat akan tetapi  kehinaannya pula boleh sampai lebih hina daripada  binatang. Itulah yang digambarkan Allah:
“Sesungguhnya kami jadikan manusia itu sebaik-baik kejadian, kemudian kami kembalikannya ke tempat yang paling rendah,.. kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh…” (al Tin ayat: 4-5) Kemuliaan atau kehinaan adalah dua pilihan yang mesti dibuat oleh manusia kerana kedua-duanya adalah berbeza. Jalannya juga berbeza dan tidak boleh bercampur. Bagi yang memilih kemuliaan dan ketinggian maka jalan yang digambarkan oleh al Quran sebagai jalan yang lurus dan itulah jalan menuju Allah Yang Maha Tinggi. Adapun jalan yang bercabang atau bengkok adalah jalan menuju kehinaan dan kerendahan.
“Dan  inilah dia jalanku jalan yang lurus , maka hendaklah kamu mengikutinya dan jangan kamu  ikuti jalan-jalan yang lain nescaya kamu akan berpisah daripada jalannya…”
Manusia juga mesti mengenali hakikat dirinya sendiri serta mengetahui apa yang perlu disediakan untuk memudahkannya  sampai kepuncak  kemuliaan dan ketinggian.Seperti seorang yang bermusafir yang mengetahui selok belok kenderaan yang dinaikinya serta apa yang diperlukannya semasa perjalanan akan lebih mudah untuk sampai ke distinasi yang ditujunya, begitu juga di dalam perjalanan menuju Allah Yang Maha Tinggi.
Hakikat kejadian manusia seperti digambarkan oleh al Quran dan al Sunnah terdiri daripada LIMA unsur yang setiap satunya diberi penekanan oleh Islam di dalam pembinaan,pemeliharaan dan penyelenggaraanya.
1-Tubuh fizikal:
Terdiri daripada anggota zahir serta organ-organ dalaman yang memerlukan pemakanan serta pergerakan tertentu untuk memeliharanya. Allah memerintahkan kita menjaganya serta mengelaknya daripada sebarang kemusnahan.
“Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu kepada kemusnahan…”
” Makanlah dan minumlah dan jangan kamu berlebih-lebihan…”
2-Ruh/Nyawa:
Hanya Allah sahaja yang mengetahui tentang hakikat kejadiannya.., Ruh atau nyawa menjadikan tubuh fizikal manusia boleh berfungsi dan segala kecantikan dan kehebatan tubuh fizikal  tanpa ruh tidak ada ertinya.
” Mereka menanyakanmu (wahai Muhammad) tentang Ruh, katakanlah Ruh itu daripada urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberikan ilmu melainkan sedikit sahaja.”
3-Akal
Akal adalah merupakan anugerah Allah kepada manusia yang membezakannya dengan binatang. Ia menterjemahkan segala apa yang diterima oleh panca indra . Apa yang dilihat, didengar,disentuh dan dirasa semuanya akan diterjemahkan oleh akal sebagai maklumat. Antara kemampuan akal  juga, boleh menyimpan serta menganalisa  maklumat yang dikumpulkan. Ia berfungsi kepada manusia sebagai penasihat atau perunding yang sentiasa menasihati untuk kebaikan diri manusia jangka panjang berdasarkan maklumat yang diterimanya . Jika betul dan baik maklumat  yang diterima dan disimpan serta tepat analisanya, maka akan betul dan tepatlah nasihat yang diberikan kepada diri itu, begitulah sebaliknya jika tidak baik atau buruknya maklumat  yang diterima serta tidak betulnya cara analisa yang dibuat, maka akan lahirlah nasihat yang tidak baik oleh akal tersebut kepada diri itu. Walaubagaimanapun akal bukan pemutus kepada diri sama ada melakukan sesuatu tindakan atau tidak dan ia masih merupakan unsur neutral dalam diri seseorang dan bukan penentu untuk manusia membuat pilihan dalam tindakannya sama ada ya atau tidak.
Dalam hal ini Islam amat menitik beratkan dalam pembinaan dan pemeliharaan akal manusia. Islam menjadikan memelihara  akal sebagai keperluan yang ketiga dituntut daripada lima keperluan iaitu Agama,nyawa, akal, keturunan dan harta di mana segala hukum hakam syariat berligar di atas lima keperluan ini. Malah Islam mengangkat Taklif (tidak dikira dosa dan pahala) ke atas seseorang apabila dia tidak berakal. Begitu juga Islam menfardhukan setiap muslim dan muslimah supaya menuntut ilmu dan Rasulullah menyatakan bahawa jika sekiranya Allah menghendaki seseorang itu kebaikan maka Allah akan memberi kefahaman kepadanya terhadap Agama. Begitu juga Islam mewajibkan kita supaya Tathabbut (mempastikan) terhadap setiap berita dan maklumat yang kita terima supaya  akal tidak memberi nasihat kepada diri kita untuk mengambil apa-apa sikap dan tindakan berasaskan maklumat yang salah.
Mukmin yang menjadikan sumber maklumatnya daripada al Quran dan al Sunnah serta berita dan ilmu Tajribi (pengalaman) yang tepat dalam membentuk tasawwur terhadap sesuatu perkara adalah manusia paling beruntung kerana akalnya akan senantiasa memberikan nasihat yang tepat untuk kebaikan dirinya sama ada dalam hidupnya beragama ataupun untuk hidupnya di dunia.
4- Nafsu
Ia merupakan satu elemen dalam diri manusia yang merupakan penasihat atau perunding kedua kepada diri manusia. Ia sentiasa mendorong seseorang supaya mendapatkan kelazatan segera tanpa melihat akibatnya. Apa saja yang boleh mendatangkan kelazatan atau  keseronokkan kepada diri sama ada dalam bentuk fizikalnya  seperti makan, minum, sek , kelazatan mendengar dan melihat atau dalam bentuk maknawi seperti kelazatan mendapat kemegahan serta pujian orang, kelazatan berkuasa dan sebagainya.
Ia merupakan unsur atau elemen yang perlu kepada manusia untuk penerusan hidup manusia dan zuriatnya di atas muka bumi ini, tetapi ia mesti dibendung dan dilatih supaya kerakusannya tidak memudharatkan serta memporakperandakan kehidupan di alam ini.
” Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya, maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaannya. Sungguh beruntung bagi siapa yang menyucikan jiwa itu dan sungguh rugilah orang yqng mengotorinya..”  (al Syams 7-10)
Islam sebagai agama yang Syumul amat menititberatkan dalam pendidikan mengawal nafsu. Pensyariatan Puasa, hukum menundukkan pandangan kepada bukan muhrim, hukum nikah kahwin, halal haram dalam pemakanan dan yang lainnya semuanya bermatlamatkan melatih dan membendung nafsu supaya ia dapat berfungsi sebaiknya kepada manusia. Sekurang-kurangnya Allah mengkategorikan kepada tiga peringkat atau darjat nafsu manusia. pertama Nafsu Ammarah yang sentiasa mendorong manusia kepada kejahatan, kedua Nafsu Lawwamah yang sentiasa mencela dirinya apabila terlanjur melakukan kejahatan dan Nafsu al Mutmainnah yang hanya mendorong diri kepada apa yang diredhai Allah sahaja. Pokoknya nafsu boleh di latih dan dididik sehingga  dia menjadi penasihat yang baik kepada diri seseorang. Tetapi apabila ia dibiarkan tanpa didikan ia tak akan puas sehingga menjadi rakus dan memudharatkan makhluk lain di bumi ini. seperti kata-kata hukama’:
” Nafsu ibarat kanak-kanak menyusu… jika dibiarkan dia akan ketagih susu sampai ke Muda, tetapi apabila di hentikan (fitam) dia mampu untuk meninggalkannya”
“wahai jiwa yang tenang ,kembalilah kepada Tuhanmu  dalam keadaan redha dan di redhaiNya, maka masuklah di kalangan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam SyurgaKu” (al Lail 27-30)
5- Hati ( al Qalb)
Inilah elemen yang paling penting dalam diri manusia. seperti kata-kata Rasulullah s.a.w :
” Apabila Ia baik  maka baiklah seluruh anggota jasadnya dan apabila Ia buruk maka buruklah segala jasadnya…, ketahuilah bahawa ia adalah Hati.”
Ia ibarat raja dalam sesebuah negara, segala sesuatu ditentukan olehnya. Dialah yang membuat pilihan, anggota lain termasuk tangan dan kaki hanya pelaksana kepada pilihan yang dibuatnya. Anggota lain tidak akan bertindak melainkan setelah pilihan yang ditentukan olehnya. Termasuk akal fikiran dan juga Nafsu  hanya sebagai perunding dan penasihat kepadanya. yang menentukan keputusan sama ada ya atau tidak  adalah hati. Oleh itu Islam amat menekankan dalam pembentukan hati yang sejahtera. Hati yang benar-benar mengenali siapa Penciptanya.Hati yang sentiasa menyerah dan tunduk kepada perintah Tuhannya.Hati yang redha dengan ketetuan Penciptanya.Hati yang kuat dan kental dalam menegakkan dan memperjuangkan prinsip yang diperintahkan kepadanya. Hati yang selamat daripada segala kotoran hasad dengki, tamak dan bakhil…Malah perjalanan menuju Allah adalah sebenarnya perjalanan hati…Dan anggota lain sebagai kenderaan… dan kehidupan adalah jalan-jalan yang terpaksa dilalui.. Akhirnya Allah  menerima untuk menemuiNya  kelak hanya  mereka yang datang dengan memiliki hati-hati suci yang sejahtera…
“Hari yang tiada guna segala harta benda dan anak pinak melainkan mereka yang datang kepada Allah

Tidak ada komentar:

Posting Komentar